fbpx

‘Tarian ligat dalam MV, kami hanya buat seronok-seronok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shiha (kiri) dan kakaknya, Ieda memberi penjelasan berhubung kontroversi muzik video raya mereka.

PETALING JAYA – Didakwa tiada nilai sopan santun, penyanyi Shiha Zikir hanya mahu menyelitkan elemen komedi dalam video muzik (MV) lagu raya baharunya berjudul Tum Tum Raya sebagai hiburan buat pendengar.

Bagaimanapun, Shiha atau nama penuhnya Nurshiha Mohd. Zikir, 38, memohon maaf atas tindakannya menari dengan aksi lincah yang membuatkan khalayak kurang selesa.

“Lagu-lagu raya sebelum ini saya terapkan unsur biasa tetapi tahun ini saya selitkan elemen komedi. Tidak melebih-lebih sampai melampau, cuma tarian sahaja yang ligat bagi menampakkan perbezaan tenaga saya dan kakak.

“Tiada niat apa pun, cuma yang kenal akan tahu perangai saya. Orang tidak mengenali sisi peribadi saya yang mempersoalkan tujuan saya berbuat demikian.

“Saya tidak pandang negatif komen tersebut dan berlapang dada. Minta maaf kalau ada yang tidak selesa, niat saya cuma mahu hiburkan orang dengan bawa perwatakan sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online selepas pelancaran Tum Tum Raya Shiha Zikir dan Ieda Zikir, semalam.

Sementara itu, kakak penyanyi terbabit, Ieda selaku rakan duet turut menegaskan bahawa pemilihan konsep video muzik itu tiada masalah kerana tidak merosakkan budaya tradisional.

“Dalam video muzik pun tiada langsung kami selit ketupat atau lampu raya. Betul-betul membawa ke arah moden yang lain dari lain sebab buat seronok-seronok.

“Apa-apa pergerakan pun Shiha akan tanya saya sebab dia risau juga takut melampau. Sebagai kakak, selagi perkara tersebut tidak melampaui batas sampai calarkan budaya tidak mengapa.

“Sebagai manusia, biasalah kita nak berseronok. Budak-budak pun boleh ikut,” ujarnya.

Pada 5 Mac lalu, Shiha dan Ieda melancarkan lagu raya baharu berjudul Tum Tum Raya hasil ciptaan Ajay Amai dan Napie Hassan.

Mereka juga melancarkan video muzik dengan teknik suntingan ‘fast cut’ dan ‘slow motion’.

Namun, tarian Shiha yang ligat dalam video muzik dianggap kurang nilai dan sopan santun yang sepatutnya diangkap dalam sebuah karya Syawal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI