PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua kaum di Malaysia menghentikan isu perkauman dan melangkah ke hadapan demi kestabilan negara.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan beliau, Tunku Nashrul Abaidah berkaa, langkah itu penting untuk memastikan perpaduan antara kaum terus terpelihara dan harmoni.
“Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang menghentikan sebarang unsur negatif atau cubaan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya melalui Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri semalam ketika majlis berbuka puasa bersama pengamal media turut bertemu trio penyampai radio yang sebelum ini terpalit isu mempersendakan upacara agama lain.
“Dalam kesempatan yang ada, beliau dapat berikan nasihat dan berpesan supaya sentiasa membawa mesej perpaduan dalam tugasan harian di tempat mereka iaitu di stesen radio berkenaan.
“Alhamdulillah, mesej diberikan itu bukan hanya menjerumus kepada mereka (penyampai radio) tetapi kepada semua pihak supaya dapat bersama menjadi agen perpaduan dan membantu usaha Kerajaan Madani menyatukan seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, kaum dan bangsa,” katanya.
Sementara itu, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri meminta MCMC memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perbezaan hukuman dan kompaun dikenakan dalam beberapa kes membabitkan isu perkauman.
Beliau berkata, Perdana Menteri menegaskan semua pihak perlu faham akan perubahan akta dan undang-undang yang sudah diluluskan sebelum ini hatta berlakunya perbezaan hukuman dan kompaun yang dikenakan. – KOSMO!ONLINE.