SABAK BERNAM – “Saya peluk erat dua anak ketakutan.” Itu tindakan yang dilakukan Mohd. Nor Fadli Rojikin, 39, bagi menenangkan anak-anaknya dalam kejadian ribut dan puting beliung di kawasan perumahan Taman Ria, Sekinchan di sini semalam.
Kejadian mencemaskan pada pukul 3.50 petang itu menyebabkan 30 buah rumah rosak dengan 19 mangsa daripada lima buah keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Seri Sekinchan.
Menurut Mohd. Nor Fadli, dia bersama isteri, Isma Azila Ismail, 40, serta dua anak sedang berehat di ruang tamu ketika kejadian berlaku.
Katanya, pada awalnya hanya hujan biasa sebelum disusuli angin kencang yang menerbangkan bumbung garaj dalam sekelip mata.
“Ribut turut menyebabkan kayu garaj runtuh dan menghempap tingkap kaca rumah sehingga pecah. Atap rumah kami juga musnah diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati puluhan penduduk sibuk mengemas dan membaik pulih kerosakan rumah. Pihak berwajib turut melawat mangsa dan membuat pemeriksaan di lokasi berkenaan.
Bercerita lanjut, Mohd. Nor Fadli berkata, dia bersyukur kerana kejadian ribut itu berlaku dalam tempoh singkat dan tidak menyebabkan mencederakan.
“Selepas ribut reda, saya segera keluar dan melihat garaj kereta rosak sepenuhnya, mujur kereta Proton Wira dan dua buah motosikal yang diletakkan di garaj itu tidak mengalami kerosakan teruk,” ujarnya.
Sementara itu, wanita warga emas, Lee Luan Ngo, 71, berkata, tiang pintu utama rumahnya turut diterbangkan angin bersama sebahagian bumbung. – KOSMO! ONLINE