KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat milikan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menunjukkan prestasi kewangan kukuh bagi tahun lalu.
Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang berkata, prestasi tersebut dibuktikan dengan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM259.97 juta.
“Keuntungan itu direkodkan oleh syarikat-syarikat aktif milikan Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Berhad, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), serta Lembaga Kemajuan Wilayah.
“Dianggarkan jumlah keseluruhan keuntungan sebelum cukai yang dicatatkan oleh syarikat-syarikat aktif milikan MARA, FELCRA Berhad, RISDA dan Lembaga Kemajuan Wilayah ialah sebanyak RM259.97 juta.
“Manakala terdapat beberapa buah syarikat yang mencatatkan kerugian dengan nilai sebanyak RM47.81 juta,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Dewan Negara, hari ini.
Tambahnya, KKDW komited memperkemaskan tadbir urus korporat dan kemampanan syarikat milikan agensi di bawah KKDW dengan langkah proaktif melalui penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pemantauan yang berterusan. – KOSMO! ONLINE,