KUANTAN – Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di sebuah rumah di Perumahan Bukit Rangin bulan lalu.
Tertuduh, Nur Nabilah Sekh Ruslan, 32, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ellyna Othman.
Wanita itu yang diam dan tunduk dilihat menangis teresak-esak ketika dibawa keluar dari mahkamah sambil menyebut ‘Allahuakbar’ selain berkata ‘Allah ada’.
Nur Nabilah didakwa menyebabkan kematian anak asuhannya pada pukul 6 petang hingga 8 malam, 17 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Abdul Wahab, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Terdahulu media melaporkan, polis menahan enam individu termasuk pasangan suami isteri susulan kematian seorang kanak-kanak perempuan pada 26 Februari lalu.
Berdasarkan laporan, pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan menerima kanak-kanak perempuan dalam keadaan tidak sedarkan pada 19 Februari lalu sebelum meninggal dunia pada keesokan harinya.
Pemeriksaan fizikal ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada kedua-dua belah tangan dan kaki. – KOSMO! ONLINE