fbpx

Perempuan pun buat gangguan seksual – Hafreez Adam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFREEZ ADAM

PETALING JAYA – Menyedari seolah-olah wujud ketidakadilan sosial, pelakon Hafreez Adam kesal kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat berpendapat bahawa jika seseorang wanita bertindak memegang bahagian sulit orang lelaki, perbuatan tersebut dianggap gurauan dan bukannya satu bentuk gangguan seksual.

Hafreez berkata, pandangan sebegitu tidak harus wujud kerana jika pelakunya adalah golongan lelaki, perbuatan itu dikecam dan dikutuk sekeras-kerasnya. Baginya, golongan lelaki atau perempuan, keduaa-duanya boleh dicaj melakukan gangguan seksual jika perbuatan mereka mendatangkan rasa tidak selesa orang lain.

HAFREEZ anggap lelaki atau perempuan boleh dicaj melakukan gangguan seksual jika perbuatan mereka mendatangkan rasa tidak selesa orang lain.

Dedah Hafreez, dia sendiri pernah mengalami situasi sama apabila kerap diganggu seorang wanita yang gemar memegang bahagian punggung dan dadanya.

“Menurut kawan saya, peraturan di pejabatnya, kalau pegang bahu atau tangan tanpa kebenaran pun tak boleh. Apatah lagi bahagian sulit.

“Pernah benda (perkara) ini terjadi kepada saya di lokasi penggambaran. Ada seorang perempuan (tetapi dia berperwatakan seperti lelaki), suka pegang punggung dan dada saya.

“Mula-mula terkejut tetapi saya tahu dia bergurau. Sebab dia cakap tak suka lelaki. Tetapi masalahnya ini badan saya. Saya tak selesa orang pegang atau tepuk bahagian itu,” katanya.

Meskipun pernah menegur tindakan tidak beradab tersebut, malangnya wanita itu tidak mengendahkannya dan tetap melakukan perbuatan sama kerana beranggapan semua itu hanyalah gurauan.

“Pernah sekali ketika penggambaran di pusat beli belah, saya memarahinya dengan berkata, ‘kau kenapa, kau nak aku pegang kau juga ke?. Sebenarnya apa yang saya cakap itu bodoh. Jangan lakukannya, okey!

“Waktu itu dia tergelak dan jawab, tak boleh, sebab dia perempuan. Barulah saya sedar betapa isu ini berat sebelah pada mata orang.

“Kalau perempuan buat, tidak mengapa sebab dianggap gurauan. Tetapi kalau lelaki yang buat, laju saja kena kecam. Jika lelaki bercakap isu ini, orang pandang serong,” ujarnya yang berharap masyarakat tidak menganggap isu tersebut sebagai perkara biasa.

ANTARA tangkap layar perbualan Hafreez bersama pengikutnya dalam laman sosial.

Terdahulu, pelakon drama Mona Lisa itu bertanyakan soalan kepada pengikut Instagramnya menerusi sesi Q&A dalam InstaStory tentang perbuatan jika seorang lelaki bergurau sambil menepuk punggung wanita.

Jawapan yang diterima pengikutnya rata-rata menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidajk wajar dan satu bentuk gangguan seksual.

Dia kemudian bertanyakan soalan serupa tetapi dengan meletakkan golongan wanita sebagai pelaku, namun jawapan diterima sangat berbeza apabila tidak ramai pengikutnya menjawab tindakan tersebut sebagai gangguan seksual. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI