MUAR – Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan miliki dan mengedar dadah di sebuah pondok di dalam ladang kelapa sawit, Muar semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, sepasukan Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya menahan ke semua suspek berkenaan pada pukul 1 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan, kesemua suspek tidak bekerja di ladang tersebut, tetapi menggunakan pondok di dalam ladang sawit berkenaan sebagai ‘port’ atau tempat aktiviti dadah dijalankan.
“Pemeriksaan ke atas suspek yang berumur di antara 30 sehingga 36 tahun itu juga menemui, tiga peket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 1.15 gram.
“Satu bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 1,070 gram anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah ialah sebanyak
RM39,716,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek positif dadah jenis ‘methamphetamine’.
Suspek kini ditahan reman sehingga 16 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pemeriksaan ke atas lelaki Indonesia mendapati suspek gagal mengemukan dokumen perjalanan sah dan suspek didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa dalam Malaysia. – KOSMO! ONLINE