fbpx

Sapura Energy terima pelaburan RM1.1 bilion daripada kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sapura Energy Berhad (SEB) semalam mengumumkan bahawa pihaknya telah beroleh pelaburan berjumlah RM1.1 bilion daripada langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal daripada Malaysia Development Holding Sdn. Bhd. (MDH).

MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya untuk digunakan bagi penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh Kumpulan SEB kepada pembekal perkhidmatan Malaysia yang beroperasi atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.

SEB dalam satu kenyataan berkata, pelaburan tersebut menandakan satu lagi peristiwa penting dalam usaha penyusunan semula kewangan, serta mengukuhkan komitmennya kepada kemampanan jangka panjang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Muhammad Zamri Jusoh, sebagai syarikat Malaysia yang menyokong lebih 2,000 vendor tempatan, pihaknya mengiktiraf tanggungjawab untuk memelihara ekosistem minyak dan gas Malaysia.

“Vendor Malaysia kami kebanyakannya ialah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah mengalami kerugian ketara dan kesukaran kewangan semasa dan selepas pandemik Covid-19.

“Kami sentiasa memiliki hasrat untuk menyelesaikan sepenuhnya hutang tertunggak kepada mereka.

“Kami amat berterima kasih kepada MDH kerana menyediakan pembiayaan ini, yang akan membolehkan kami memenuhi komitmen kepada vendor tempatan,” katanya.

SEB menyokong kira-kira 2,300 vendor tempatan, yang mana kira-kira 1,800 daripadanya adalah PKS. Ia telah menganugerahkan kontrak bernilai RM7.3 bilion kepada vendor tempatan dalam tempoh lima tahun lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI