PETALING JAYA – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu sentiasa berusaha mencari keseimbangan bagi memenuhi pelbagai agendanya dari segi mencari keuntungan dan memenuhi keperluan pemegang taruh, khususnya rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di media sosial Facebook sempena mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) tahun ini, yang diadakan pada Januari lalu mencabar GLC dan GLIC mengemukakan idea bagi pemerkasaan ekonomi Bumiputera.
“Saya memberi penegasan dan cabaran kepada ketua-ketua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) supaya memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan-cadangan bernas serta mengerakkan prakarsa (ikhtiar) terkait pembangunan ekonomi Bumiputera.
“Sebagai platform tertinggi yang mengangkat agenda Bumiputera sebagai agenda nasional, MEB berperanan sebagai platform utama dalam memastikan segala perancangan yang direncanakan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dapat dipantau keberkesanan pelaksanaannya,” katanya.
Dalam persekitaran hari ini, GLC dan GLIC perlu memainkan pelbagai peranan melangkaui agenda asal penubuhan mereka, termasuk memenuhi syarat-syarat berkait prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurut Pengarah Penyelidikan Kanan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Sri Murniati Yusuf, GLC pada asalnya ditubuhkan untuk menyokong agenda pemerkasaan Bumiputera, tetapi dalam persekitaran semasa, lebih banyak yang diharapkan daripada mereka.
“Kita tidak seharusnya melihat agenda baharu ini sebagai bercanggah dengan keperluan memperkasakan Bumiputera. Kedua-dua agenda itu mesti disepadukan secara berkesan demi manfaat kedua-dua GLC dan Bumiputera,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Sri Murni berkata, dari segi mencapai objektif perniagaan, GLC dan GLIC telah menunjukkan prestasi yang agak baik.
“Sebagai contoh, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) kini mempunyai permodalan pasaran lebih RM85 bilion, menjadikannya salah satu entiti terbesar di Bursa Malaysia.
“Secara kolektif, permodalan pasaran 30 GLC teratas dalam Bursa Malaysia bernilai lebih RM952 bilion keseluruhannya. Malah, banyak GLC telah melebarkan sayap ke luar Malaysia untuk bertapak di seluruh dunia,” katanya.
Umpamanya, Malayan Banking Bhd. (Maybank), institusi kewangan terbesar negara yang merupakan salah satu daripada lima bank teratas di Asia Tenggara, mempunyai rangkaian global sebanyak 2,200 cawangan dan 20 pejabat.
Dalam kalangan GLIC pula, Permodalan Nasional Bhd (PNB) merupakan salah satu syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia yang mempunyai kepentingan dalam sektor telekomunikasi melalui pelaburannya dalam CelcomDigi Bhd. dan Maxis Bhd.
Sementara itu, ada yang terlibat dalam sektor tenaga seperti TNB dan Petronas Gas Bhd; serta perbankan melalui CIMB Group Holdings Bhd. dan Bank Islam Malaysia Bhd., antara lainnya.

Agenda kemampanan
Beliau berkata, kebanyakan GLIC dan GLC di Malaysia telah mempunyai dasar bagi menangani isu ESG sebagai antara dasar pelaburan bertanggungjawabnya. Ini termasuk libat urus dalam hal ehwal alam sekitar dan sosial.
Jelasnya, tiga GLIC Malaysia sudah pun menjadi pihak yang menandatangani Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab (PRI), sebuah rangkaian institusi kewangan disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bekerjasama dalam mencapai kemampanan.
Banyak GLIC lain seperti Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sedang giat berusaha memenuhi agenda tenaga hijau mereka sendiri.
“Sebagai contoh, Petronas merancang untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada operasinya di Malaysia kepada 49.5 juta tan setara karbon dioksida pada tahun lalu daripada 54.03 juta tan pada 2022.
“Pada 2021, TNB mengumumkan akan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 di bawah pelan peralihan tenaganya.
Sementara itu, sektor minyak dan gas (O&G) mendahului dalam bidang inovasi teknologi.
“Anak syarikat Petronas, Malaysian Refining Company Sdn. Bhd. sedang merintis program melibatkan penggunaan bahan kimia mesra alam untuk merawat enap cemar bagi memperoleh semula minyak dan pada masa sama, mengurangkan jumlah sisa pepejal,” katanya.
Pemerkasaan Bumiputera
Sri Murniati menambah, selain agenda kemampanan, GLC dan GLIC di Malaysia mempunyai satu lagi tanggungjawab, iaitu menyokong pertumbuhan perniagaan Bumiputera.
Salah satu komponen utama agenda ini adalah membangunkan pembekal bawah program pembangunan vendor, yang diharapkan dapat menyokong agenda hijau dan usaha teknologi GLC.
“Apabila matlamat-matlamat ini tercapai, kedua-dua pihak iaitu GLC dan pembekal akan mendapat manfaat.
“Usaha menjamin tadbir urus korporat dan memperkasakan perniagaan Bumiputera juga tidak seharusnya saling eksklusif,” katanya.
Tegasnya lagi, sekiranya program itu direka bentuk dengan ketelusan dan pendedahan yang mencukupi, agenda Bumiputera boleh menjadi asas tadbir urus korporat untuk GLC.
Sementara itu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyarankan GLIC dan GLC membeli produk serta menggunakan perkhidmatan pengusaha Bumiputera.
Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, saranan Perdana Menteri yang mencabar GLC dan GLIC membantu meningkatkan ekonomi Bumiputera bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai sekiranya mempunyai iltizam kuat.
“Sebagai contoh, pembelian produk dan perkhidmatan sokongan daripada komuniti Bumiputera untuk kegunaan GLC, GLIC dan agensi kerajaan adalah satu langkah penting.
“Langkah itu berpotensi menyumbang hasil berbilion ringgit kepada ekonomi Bumiputera dan memberi peluang kepada usahawan Bumiputera meningkatkan kualiti, kapasiti dan keupayaannya malah akan menghasilkan limpahan ekonomi besar,” katanya. – KOSMO! ONLINE