fbpx

Serangan kereta api di Pakistan, 10 maut, ratusan jadi tebusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG askar bertugas memindahkan penumpang di Stesen Mach semalam. - Foto AFP

ISLAMABAD – Sekumpulan anggota pemisah membunuh sekurang-kurangnya 10 orang selepas merampas sebuah kereta api yang membawa ratusan penumpang di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan semalam, lapor saluran berita CNN.

Menurut pegawai kanan perkhidmatan kereta api, Imran Hayat, sembilan daripada mereka yang terbunuh ialah anggota keselamatan, manakala seorang pemandu kereta api turut maut dalam serangan itu.

Jurucakap kerajaan Balochistan, Shahid Rind berkata, kejadian tembakan berlaku di dalam kereta api tersebut.

Kumpulan militan itu menggunakan wanita dan kanak-kanak sebagai perisai dalam kereta api.

Seorang pegawai berkata, perjalanan kereta api dikenali sebagai Jaffer Express itu telah dihentikan oleh anggota militan ketika ia sampai ke sebuah terowong semalam. 

Kereta api itu dalam perjalanan dari Quetta, Balochistan ke bandar Peshawar.

“Individu bersenjata menghentikan Jaffer Express di dalam Terowong No. 8 (di Bolan),” kata pengawal Quetta Railway, Muhammad Kashif kepada CNN.

“Kereta api itu, yang berlepas dari Quetta pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) mempunyai sembilan koc dan membawa kira-kira 450 penumpang,” tambahnya.

Menjelang malam semalam, 104 tebusan telah dibebaskan oleh pasukan keselamatan, sumber keselamatan memberitahu CNN. 

Mereka yang dibebaskan termasuk 58 lelaki, 31 wanita dan 15 kanak-kanak, katanya.

Penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital, manakala usaha untuk menyelamatkan baki tebusan masih dijalankan.

Tentera Pembebasan Baloch (BLA) mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI