PETALING JAYA – Pelakon Nabila Huda berkongsi keterujaannya belajar mengaji Iqra bersama anak kesayangannya, Keisha Laila bagi memenuhi masa ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lebih menarik, ini kali pertama aktres filem Munafik itu belajar membaca Iqra seumur hidupnya.
Menurut pelakon berusia 37 tahun itu, sebelum ini dia pernah mempelajari bahasa Sepanyol dan Mandarin dan berasa sangat teruja kerana dapat menyertai kelas mengaji bersama anaknya.
“Assalamualaikum. Selain daripada belajar bahasa Sepanyol dan Mandarin, hari ini merupakan hari pertama kami belajar Iqra bersama,” katanya menerusi satu hantaran dalam Instagram.
Menurut aktres filem Munafik itu lagi, sebelum ini dia bersama Keisha selalu berentap untuk menang dalam apa sahaja pertandingan dan bersetuju untuk sama-sama mengikuti kelas mengaji bersama anaknya.
“Semestinya saya teruja sebab tidak pernah belajar Iqra seumur hidup. Masa dahulu kita belajar Muqaddam sahaja. Jadi kita lawan tengok siapa paling handal ,okey?” kata Nabila yang turut
memuat naik sekeping foto mengenakan hijab bersama anaknya dalam Instagram.
Perkongsian tersebut turut mendapat respons dalam kalangan rakan-rakan selebriti. Masing-masing memuji usaha anak kepada penyanyi legenda, Amy Search itu.
“Hanya doa yang baik untuk awak dan seisi keluarga. Allah SWT memberkati awak dan orang yang awak sayangi selalu,” kata penyanyi Faizal Tahir. – K! ONLINE