KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai menepati status sebagai pilihan utama apabila melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton All England.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham hari ini, pasangan suami isteri itu dipaksa bermandi peluh sebelum menang 22-20, 9-21, 21-18 ke atas Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand.
Kemenangan itu menyaksikan Soon Huat-Shevon mengulangi pencapaian musim lalu di mana mereka berjaya melangkah ke pusingan kedua sebelum tewas mudah 12-21, 5-21 kepada pasangan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan kedua pasangan No.3 dunia itu ke atas Dechapol-Supissara dalam empat pertemuan dengan perlawanan terakhir pada separuh akhir Terbuka Malaysia Januari lalu memihak kepada beregu Thailand itu.
Menjelang pusingan kedua Khamis ini, Soon Huat-Shevon dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir apabila dijadualkan bertemu Alexander Dunn-Julie MacPherson dari Scotland.
Sementara itu, nasib berbeza dialami perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao pada penampilan sulungnya apabila dipaksa pulang awal selepas tewas 11-21, 19-21 kepada jaguh Indonesia, Jonatan Christie.
Situasi sama turut dialami beregu lelaki, Arif Junaidi-Yap Roy King meskipun sudah memberikan tentangan hebat apabila tewas 18-21, 21-16, 17-21 kepada pasangan China, Huang Di-Liu Yang. – KOSMO! ONLINE