SEOUL – Pekerja-pekerja sebuah tapak pelupusan sampah di Korea Selatan sanggup menyelongkar sampah sarap seberat 24 tan untuk mencari wang tunai berjumlah 26 juta won (RM79,000) milik seorang wanita bagi kegunaan pembedahan anaknya.
Laman berita Must Share News melaporkan, selepas lapan jam menyelongkar, kakitangan berjaya menemukan wang sebanyak 18.28 juta won (RM56,000), manakala selebihnya gagal dikesan.
Menurut laman berita YTN, pusat pelupusan sampah itu menerima panggilan daripada wanita berkenaan pada pukul 10 pagi (waktu tempatan), 24 Februari lalu.
Dalam nada suara panik, wanita tersebut menjelaskan bahawa dia tersilap membuang wang tunai 26 juta won ke dalam sistem pengumpulan sampah automatik.
Menurut wanita tersebut, wang itu adalah untuk kegunaan pembedahan anak lelakinya.
Pegawai pusat pelupusan sampah tersebut dengan segera menghentikan proses penyingkiran sisa sebelum sampah diangkut ke kemudahan pemprosesan untuk dilupuskan.
Pekerja-pekerja di kemudahan tersebut secara sukarela membantu wanita berkenaan mencari wang miliknya meskipun terpaksa menyelongkar 24 tan sampah.
Selepas lapan jam pencarian, pasukan itu berjaya mendapatkan semula 18.28 juta won.
Wanita itu kemudiannya berkongsi ucapan terima kasih kepada mereka dengan mengatakan bahawa dia telah putus harapan, namun pekerja enggan berhenti mencari.
“Saya menangis kerana mereka menemui setiap wang tersembunyi untuk saya,” tulisnya. – AGENSI