PUTRAJAYA – Modus operandi digunakan sindiket ulat kad sim warga asing yang mensasarkan pelancong Bangladesh yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tumpas apabila dicekup Jabatan Imigresen semalam.
Berdasarkan maklumat, sindiket ulat sim kad itu akan mensasarkan warga Bangladesh dengan menjual kad telco secara langsung dengan harga RM25 sekeping.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kad sim daripada pelbagai telco Malaysia itu didaftarkan atas nama individu lain sebelum dijual kepada warga asing.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan melakukan pemeriksaan ke atas sembilan lelaki warganegara asing.
“Hasil pemeriksaan tersebut, pasukan operasi telah menahan kesemua mereka yang merupakan warganegara Bangladesh berusia di antara 22 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini tadi.
Pasukan operasi merampas empat naskhah pasport Bangladesh, 10 unit telefon bimbit, 121 keping kad sim pelbagai syarikat telekomunikasi (telco), lapan keping jarum pembuka kad sim dan wang tunai berjumlah RM1,555.
Katanya, soal siasat awal mendapati hasil penjualan kad sim ini boleh mencecah sehingga RM1,500 hingga RM2,000 sehari dan dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan.
“Hasil semakan awal mendapati lima orang yang ditahan ini tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dua orang tinggal lebih masa.
“Dua orang lagi dipercayai melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” jelasnya.
Lima lelaki Bangladesh ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63 selain dua ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.15(4) Akta Imigresen 1959/63.
Dua lagi ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Per.39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Kesemua warganegara asing ini dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE