ISKANDAR PUTERI – Ribuan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim di sini bagi menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) antara Harimau Selatan menentang Buriram United menerima layanan istimewa apabila dijamu dengan hidangan berbuka puasa secara percuma.
Sebanyak 80 periuk bubur lambuk dimasak secara gotong-royong oleh Southern Volunteers (SV) sejak pukul 10 pagi bagi memastikan penyokong mendapat juadah sebelum masuk ke stadium.
Selain bubur lambuk, para penyokong turut menerima pek makanan KFC, kurma, kek, dan air minuman secara percuma sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan untuk meraikan sokongan mereka terhadap pasukan Harimau Selatan.
Suasana di pekarangan stadium menjadi meriah apabila ribuan penyokong beratur untuk mendapatkan makanan yang disediakan, dengan rata-rata mereka melahirkan rasa teruja dan berterima kasih atas layanan yang diberikan.
“Ini satu usaha yang sangat baik. Selain memberi kemudahan kepada penyokong yang berpuasa, ia juga mengeratkan semangat perpaduan dalam kalangan peminat bola sepak,” kata seorang penyokong yang ditemui.
Acara berbuka puasa ini bukan sahaja mencerminkan semangat kesukanan, malah memperkukuh nilai kebersamaan dalam kalangan penyokong JDT yang terus setia memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.-KOSMO! ONLINE