LUMUT – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi, Ibrahim IC 1170cc kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.
Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut dalam kenyataannya berkata, kurniaan itu bukan sahaja memperkukuhkan keupayaan operasi TLDM, malah turut menjadi simbol keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap keselamatan perairan negara.
“Bot Ibrahim Class IC 1170cc direka khas sebagai bot pemintas berkelajuan tinggi yang mampu beroperasi dalam perairan tropika.
“Dibangunkan oleh Royal Boat Hangar Johor, bot ini diperbuat daripada aluminium marin berkualiti tinggi dan mempunyai ciri-ciri reka bentuk yang menekankan ketahanan serta kestabilan,” katanya di sini hari ini.
Terlebih dahulu, majlis penyerahan telah dilaksanakan di pekarangan Markas Pemerintahan Armada Barat dan disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Azuwan Harun.
Majlis bersejarah itu juga disulami dengan acara menandatangani sijil penyerahan bot antara TLDM dan Royal Boat Hangar Johor yang diwakili oleh Mohamad Yuni Ismail.
Pada masa sama, kenyataan itu berkata, dengan panjang keseluruhan 12.60 meter (m) dan lebar maksimum 3.50m, bot itu dikuasakan oleh tiga enjin Mercury OBM berkapasiti 400 kuasa kuda setiap satu.
Katanya, ia membolehkannya mencapai kelajuan maksimum sehingga 65 batu nautika sejam (knot) manakala kelajuan pelayaran optimum adalah 45 knot.
“Bot ini turut dilengkapi dengan sistem navigasi yang komprehensif, komunikasi moden serta sistem radio yang canggih bagi memastikan pengendalian bot adalah mudah dan efektif dalam melaksanakan operasi,” katanya.
Menurutnya, bot itu turut didatangkan bersama Aluminium Trailer bagi memudahkan pemindahan ke lokasi yang diperlukan.
Katanya, sistem itu membolehkan bot diturun dan dinaikkan dengan pantas mengikut keperluan operasi, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi sebarang ancaman di perairan negara.
“Bot kurniaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini akan ditempatkan di bawah naungan Markas Pemerintahan Armada Barat dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh TLDM untuk mempertingkatkan keupayaan rondaan persisiran dan sebagainya.
“Selain TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut menerima bot yang sama, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam usaha meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara,” katanya.
“TLDM sekali lagi menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kurniaan ini, yang pastinya akan meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara.
“TLDM terus komited dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan Malaysia demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE