BESUT – Tiga lelaki diberkas kerana disyaki mencuri kabel telekomunikasi di Kampung Gerai di sini hari ini.
Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan pada pukul 3.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, kenderaan pacuan empat roda dinaiki kesemua lelaki itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.
“Suspek enggan memberi kerjasama sebalik memecut laju kenderaan kereta sebelum namun berjaya juga dipintas kira-kira satu kilometer kemudian.
“Pemeriksaan menjumpai sejumlah kabel telekomunikasi disyaki dicuri di dalam kenderaan pacuan empat roda itu,” katanya di sini hari ini.
Azamuddin berkata, peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel telekomunikasi terbabit juga telah dirampas.
Beliau berkata, semakan mendapati tiga lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian urin mereka pula negatif.
“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE