SHAH ALAM – Peningkatan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) kepada 25 peratus berkuatkuasa tahun depan adalah signifikan dari sudut pengagihan yang adil kepada negeri-negeri di Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tambahan nilai kepada semua negeri itu menunjukkan keadilan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan setiap rakyat mendapat perhatian sebaiknya.
Katanya, ini terutama melibatkan aspek-aspek pembangunan infrastruktur dan sebagainya.
“(Signifikan dalam konteks Selangor) secara asasnya kita akan menggunakan semua penilaian peningkatan itu dalam tambah baik sektor dan perkhidmatan kepada rakyat.
“Ini bagi memastikan isu-isu keselesaan penduduk dengan infrastruktur jalan dan menangani isu banjir. Disamping, kita tak nafikan ada lagi peruntukkan dalam bentuk projek seperti tebatan banjir secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Konvensyen Wanita MyWira 2025 yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya pada Ahad lalu dipetik berkata, kadar baharu Capitation Grant diluluskan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2025 yang dipengerusikannya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri mencecah RM9.3 bilion pada 2024 dan ditingkatkan lagi dengan peruntukan RM9.8 bilion untuk tahun ini demi manfaat semua rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE