KOTA BHARU – Seorang pengusaha kilang arang di Kampung Padang Mokkan, Peringat, di sini tidak menang tangan apabila menerima tempahan lebih 10,000 bungkus arang bernilai kira-kira RM27,000 sejak hari pertama Ramadan.
Keadaan itu menyebabkan Mohd. Napi Awang, 52, perlu mencari dan membeli bekalan kayu pokok rambutan lebih banyak daripada pembekal bagi menampung permintaan pelanggan sehingga hujung bulan ini.
Mohd. Napi berkata, jualan arang kayu meningkat hampir tiga kali ganda pada Ramadan kerana peniaga makanan membelinya secara borong untuk keperluan memasak lauk-pauk atau kuih-muih.
“Saya tidak menyangka permintaan terhadap arang tahun ini sangat menggalakkan meskipun proses pembuatannya mengambil masa hampir tiga minggu.
“Kira-kira 10,000 bungkus arang dengan setiap bungkusan seberat dua kilogram yang dijual pada harga RM2.70 habis dijual sejak minggu lalu.
“Arang kayu ini diperbuat menggunakan kayu rambutan. Kayu tersebut sesuai digunakan kerana arangnya tahan lama dan bara yang dihasilkan lebih baik,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Padang Mokkan, Peringat, di sini semalam.
Mohd. Napi memberitahu, arang di kilang kecil yang diusahakannya sejak 30 tahun lalu itu mengguna lima buah relau.
Menurutnya, kilang arang itu diusahakan selepas mengambil alih daripada rakannya dan masih mengekalkan kaedah pembuatan bahan tersebut secara tradisional.
“Proses pembakaran kayu mengambil masa yang lama untuk menghasilkan arang. Bekalan kayu diperoleh daripada pembekal di Pasir Puteh dan Bachok.
“Kayu yang dibawa pembekal ke kilang akan diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan arang yang dihasilkan berkualiti dan dapat memenuhi permintaan pelanggan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE