INDIANAPOLIS, INDIANA – Seorang wanita di negeri Indiana ditahan kerana duduk di atas anak angkatnya sehingga mati selepas mangsa dikatakan berkelakuan buruk, lapor akhbar Metro UK semalam.
Jennifer Lee Wilson, 48, didakwa melakukan pembunuhan kerana kecuaian terhadap anak angkatnya, Dakota Levi Stevens.
“Stevens melarikan diri dari rumah dan ditemui oleh Wilson di rumah jiran. Selepas pulang ke rumah mereka, kanak-kanak lelaki itu mula mengamuk.
“Tertuduh kemudian duduk di atas mangsa selama lima minit sambil berbual dengan rakan sekerjanya di telefon.
“Mangsa mula berhenti bergerak dan tertuduh menyangka dia hanya berpura-pura,” demikian menurut kertas pertuduhan di mahkamah.
Apabila menyedari mangsa langsung tidak bergerak, Wilson menghubungi perkhidmatan kecemasan dan mereka turut mendapati mangsa tidak bernafas.
Stevens dibawa ke hospital berdekatan dan disahkan meninggal dunia dua hari kemudian.
Bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan serius termasuk kerosakan organ dan tisu lembut, pendarahan pada hati serta paru-paru, manakala punca kematian adalah asfiksia mekanikal.
Wilson dihukum penjara enam tahun pada Januari lalu. – AGENSI