LONDON – Legenda Manchester United, Wayne Rooney membuat kenyataan pedas apabila menyamakan Arsenal dengan The Red Devils dan tidak layak untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL).
Rooney berpendirian bahawa kedua-dua kelab itu memiliki masalah sama dan ia cukup berbeza jika dibandingkan apa dilalui oleh pendahulu EPL ketika ini, Liverpool yang disifatkan cukup luar biasa.
Dari sudut pandang Rooney, Arsenal dan Man. United tidak memiliki penyerang sejati yang layak untuk menggalas tugas pemain nombor sembilan berperanan menghasilkan jaringan.
“Saya sentiasa merasakan mana-mana pasukan yang memiliki pemain nombor sembilan berkualiti mampu untuk memenangi sesuatu. Ia berbeza dengan Liverpool khususnya apabila melihat penggiliran pemain yang mereka lakukan di bahagian tengah.
“Pemain nombor sembilan seperti Luis Diaz, Diogo Jota atau Darwin Nunez masih lagi penting walaupun Mohamed Salah sering menjadi penjaring utama,” katanya.
Sekalipun Nunez jarang meledak gol, Liverpool masih memiliki pemain lain mampu menggalas tugas itu berbanding The Gunners dan The Red Devils apabila kedua-duanya terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 1-1 pada aksi EPL di Old Trafford kelmarin.
“Saya masih yakin dengan Rasmus Hojlund kerana dia adalah penyerang berkualiti yang sering bekerja keras. Sebagai penyerang, dia akan berdepan tekanan jika gagal jaringkan gol, namun dia juga memerlukan sedikit tuah,” kata Rooney mengenai Hojlund. – AGENSI