KUANTAN – Seorang pesara wanita mengalami kerugian sebanyak RM100,000 selepas terperdaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan wakil pihak mahkamah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 5 Mac lalu selepas mangsa yang berumur 60 tahun menerima panggilan telefon daripada pihak yang menyamar sebagai Pegawai BNM dan pihak mahkamah.
“Suspek mendakwa bahawa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan mangsa diarahkan untuk mengisytiharkan wang simpanannya dengan cara memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.
“Akibat terpedaya dengan helah tersebut mangsa telah melakukan empat transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun bank berbeza antara 7 Mac sehingga 9 Mac 2025 berjumlah RM100,000,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya mangsa menyedari dirinya ditipu apabila diminta penambahan wang oleh suspek sebelum membuat laporan polis.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati sumber kewangan adalah wang simpanan milik mangsa.
Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan sentiasa peka terhadap trend penipuan dalam talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih terutama dengan perkembangan teknologi,”ujarnya.