PETALING JAYA – Saksi pendakwaan ke-21 memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini anak lelakinya ada mengejar budak lelaki pada waktu tengah hari, 5 Disember 2023 pada hari kejadian Zayn Rayyan Abdul Matin dilaporkan hilang.
Nor Zaini Zainul, 39, yang tinggal di salah sebuah unit Blok R, Aparment Idaman, Damansara Damai berkata, anak lelakinya yang berusia 10 tahun itu memberitahu perkara tersebut selepas memanggilnya kerana van sekolah sudah sampai.
“Saya panggil anak saya kerana van sekolah sudah sampai. Anak saya yang datang dari belakang kemudian tepuk saya kata ‘Mama saya kejar budak’ saya ingat dia bermain dengan seorang lagi budak… saya tidak sangka dia kejar Zayn. Selepas itu van sekolah sampai anak saya terus naik van,” katanya.
Ujar saksi itu, sebelum anaknya yang merupakan saksi pendakwaan ke-14 memberitahu ‘Mama saya kejar budak’, anak keduanya ada bermain dengan seorang lagi budak lelaki di kawasan sama.
Terdahulu saksi itu memberitahu pada tengah hari, 5 Disember itu, dia ada melihat Ismanira Abdul Manaf dan anaknya Zayn Rayyan Abdul Matin menaiki motosikal.
Katanya, selepas Ismanira meletakkan motosikalnya berdekatan dengan Blok S, dua beranak itu ada melintasinya yang duduk di bahagian tangga dan terus ke taman.
“Saya nampak Zayn pakai baju-T putih ada lencana sekolah dan berseluar track warna gelap. Tapi pakaian ibu Zayn (Ismanira) saya tidak ingat,” kata saksi itu.
Menurutnya, dia yang tinggal di apartment tersebut sejak 2012 turut memberitahu, tidak kenal Ismanira dan Zayn Rayyan namun sering melihat mereka dua atau tiga kali dalam seminggu ketika Ismanira mengambil anaknya pulang dari sekolah.
Tambahnya, dia hanya mengetahui mengenai kehilangan kanak-kanak autistik itu pada pukul 12.45 tengah hari daripada suaminya melalui kumpulan WhatsApp mengenai kehilangan budak.
Ditanya pendakwaan, semasa dapat mesej itu adakah saksi itu tahu budak yang melintas di hadapannya adalah Zayn Rayyan yang dilaporkan hilang saksi itu menjawab ‘Ya saya tahu, saya terkejut,”.
Sebelum ini pada prosiding terdahulu, saksi pendakwaan ke-12, Siti Natrah Ismail, 68, yang tinggal di Blok R memberitahu, dia ada melihat dua kelibat kanak-kanak bermain kejar-kejar pada waktu tengah hari pada 5 Disember 2023.
Siti Natrah berkata, kelibat dua kanak-kanak lelaki itu dilihat ketika dia sedang menyidai kain di ampaian belakang rumahnya yang terletak dia aras paling bawah di Blok R apartment tersebut.
Bagaimanapun saksi itu tidak pasti siapakah dua budak lelaki yang bermain kejar-kejar pada waktu tengah hari itu.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka
Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.- KOSMO! ONLINE