PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbesar hati menerima kunjungan rombongan para guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah di Kelantan di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Anwar berkata, pertemuan ini membuka ruang bermakna untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, khususnya berkaitan perkembangan Islam dan pembangunan ummah.
“Jemputan ini saya sampaikan sendiri setelah mereka menghadiri majlis iftar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya semalam.
“Saya tekankan betapa pentingnya kita memperkukuh dasar Islam dalam pendidikan, serta beberapa ikhtiar kerajaan dalam membina kekuatan dalaman umat Islam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Menurutnya, beliau amat menghargai pandangan dan nasihat yang disampaikan, terutamanya dalam soal pendidikan turath serta cadangan untuk memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia.
“Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang serta menghindari kebencian.
“Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan Madani dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh,” ujarnya.
Tambah Anwar, mereka turut sependapat bahawa dalam banyak perkara, titik persamaan itu lebih besar daripada perbezaan.
“Dalam ruang yang sama, saya turut menekankan tentang perkembangan komunikasi serta kerjasama yang semakin erat dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan.
“Saya berharap pertemuan sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia menjadi wahana yang sangat bernilai dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara.
“Buah fikiran dan nasihat para tuan guru amat saya hargai dan saya percaya ia terpancar dari keikhlasan demi kesejahteraan rakyat serta negara seluruhnya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE