fbpx

[VIDEO] Pengarah MPKj didakwa bagi projek kepada adik perempuannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nizam didakwa salah guna kuasa memberikan kelulusan kebenaran projek pembangunan kepada adik perempuannya di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Seorang Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa memberikan kelulusan kebenaran projek pembangunan kepada adik perempuannya sendiri, lima tahun lalu.

Tertuduh, Datuk TPr. Nizam Sahari, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Nizam didakwa telah menggunakan jawatannya sebagai Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj Gred J52 untuk mendapatkan suapan bagi syarikat Tetuan Permata Cerah Sdn. Bhd. milik adik perempuannya berusia 50 tahun iaitu kelulusan permohonan kebenaran merancang cadangan sebuah blok bangunan perniagaan mengandungi empat unit kedai membabitkan dua dan tiga tingkat di Lot 7330, Mukim Kajang, Hulu Langat.

Perkara itu dilakukan tertuduh dengan membentangkan kebenaran merancang projek itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat MPKj serta mengeluarkan borang C (1) iaitu kebenaran merancang kepada Tetuan Permata Cerah.

Perbuatan itu dilakukan Nizam di Bilik Mesyuarat Cempaka Putih, MPKj pada 14 Mac 2016.

Sehubungan itu, dia melakukan kesalahan dibawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Difahamkan tertuduh ditangkap pukul 2.50 petang semalam di pejabat SPRM Selangor selain adik perempuan tertuduh merupakan seorang kontraktor pembinaan dan pengusaha stesen minyak.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Peguam bela Wan Muhd. Ariff Ameer Wan Normazlan yang mewakili tertuduh tidak membantah perkara itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan 25 Februari depan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI