PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan mempunyai keyakinan tinggi terdahap kepakaran negara dalam berhadapan cabaran keselamatan siber.
Keupayaan agensi berkaitan dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta industri tempatan mampu memastikan Malaysia sentiasa bersedia dan berupaya menghadapi ancaman siber semasa dan akan datang.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata, perkara itu dinyatakan Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat Keselamatan Siber Negara Bilangan 1/2025, hari ini.
Menurut Tunku Nashrul, Anwar juga sekali lagi menegaskan tentang kepentingan keselamatan siber yang menjadi keutamaan negara.
“Justeru, kerajaan menyeru pihak tempatan yang mempunyai kepakaran dalam keselamatan siber bekerjasama dengan kerajaan agar eko sistem keselamatan siber dapat dipertingkatkan dengan lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) disiarkan di Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Tunku Nashrul berkata, selain itu Anwar mengambil maklum dan berbincang mengenai tiga pembentangan dalam mesyuarat tersebut.
“Ia meliputi situasi semasa keselamatan siber negara yang mana umumnya terdapat trend penurunan insiden keselamatan siber dari tahun 2023 sehingga 2024.
“Status pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 [Akta 854] yang mana pelaksanaan Akta 854 ini juga terus diperkukuhkan melalui tambahan pelantikan ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara dan pakar keselamatan siber.
“Selain itu, penganjuran Cyber Games dan persidangan peringkat ASEAN anjuran bersama Analisis awal Agensi Keselamatan Siber Negara, Council of Europe dan Interpol berhubung jenayah siber dipersetujui diadakan pada Mei depan,” ujarnya.
Tunku Nashrul berkata, Anwar turut menegaskan dinamika ancaman siber adalah tinggi sejajar kebergantungan pelbagai aspek kehidupan memerlukan eko-sistem dan prasarana keselamatan siber yang menyeluruh.
“Kerajaan, pihak swasta dan rakyat mempunyai peran masing-masing untuk memastikan Malaysia berdaya tahan mendepani cabaran keselamatan siber,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE