fbpx

Era FM nyata komitmen perkukuh nilai murni dalam penyiaran – Aaron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron ketika mengadakan pertemuan bersama pihak Astro.- Foto Facebook Aaron.

PETALING JAYA – Stesen radio Era FM menyatakan komitmen untuk memperkukuh nilai-nilai murni dalam industri penyiaran selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memupuk elemen Faham, Hormat dan Terima dalam masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd., Euan Daryl Smith.

“Pihak Astro turut kesal dengan kejadian yang telah berlaku di Era FM dan menyatakan komitmen untuk memupuk nilai-nilai murni dalam industri penyiaran selaras aspirasi Kementerian dalam memupuk elemen Faham, Hormat dan Terima,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Selain itu, katanya, Astro juga akan membantu merancakkan kempen Cakap Baik-Baik, sebagai usaha memupuk budaya dan amalan baik dalam kalangan masyarakat di platform televisyen dan radio.

Pada 5 Mac lalu, penyampai segmen 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Radin Amir dan Azad Jasmin telah memberi keterangan selama lebih dua jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.

Sebelum ini, trio penyampai radio itu memohon maaf berhubung video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci yang dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Video itu yang sudah diturunkan dari platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan-rakan yang lain.

Klip video tersebut mengundang kritikan ramai kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut agama lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI