PETALING JAYA – Solat tarawih yang berlangsung dengan penuh khusyuk dan ketenangan sering kali diakhiri dengan satu ‘cabaran’ di kebanyakan masjid dan surau apabila para jemaah perlu fokus mencari selipar ‘ghaib’.
Menerusi satu rakaman video dikongsikan pengguna Facebook, Wan Pengandaman, seorang jemaah lelaki dilihat berdiri di hadapan pintu masuk masjid hampir 10 minit disebabkan mencari seliparnya.
Semakan Kosmo! di media sosial, orang ramai turut berkongsi pengalaman lucu mereka berdepan situasi seperti itu apabila ada yang mengusik dengan mengatakan bahawa cabaran mencari selipar selepas tarawih adalah salah satu bentuk ‘ujian kesabaran’ dalam bulan Ramadan.
“Ini pun ujian, sabar cari kasut, selipar masing-masing. Jangan kelam-kabut, insya-Allah anda akan bertemu semula (dengan selipar masing-masing),” seloroh Aizat.
“Setiap tahun, perkara ini berlaku. Tarawih selesai dalam sejam, tapi nak cari selipar boleh ambil 10 minit. Kadang-kadang, bukan selipar hilang, tapi dah ‘berpindah’ jauh dari tempat asal,” kata Zaki.
“Masjid dekat rumah aku memang ada nota jemaah disaran bawa beg kasut sendiri, elak tertukar atau pening mencari,” ujar Hasbullah.
“Cara aku pakai selipar warna terang, aku punya warna kuning, memang dari jauh aku nampak. Lagi satu elak pakai selipar awam ke masjid, sakit kepala nak tengok satu-satu. Taste (citarasa) orang lelaki hampir semua, ‘design’ kasut semua hampir sama atau sama,” kata Mohd. Mukmin. – KOSMO! ONLINE.