GEORGE TOWN – Seorang penjenayah warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota polis ketika cuba meloloskan diri di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok dekat sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira- pukul 2.20 pagi itu berlaku selepas suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang sebelum itu menemui suspek dalam keadaan mencurigakan dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 115ZR.
Katanya, anggota yang ketika itu sedang melakukan rondaan cegah jenayah telah memperkenalkan diri lalu mengarahkan suspek berhenti untuk pemeriksaan.
“Namun lelaki itu enggan mematuhi arahan dan memecut laju. Pasukan polis segera mengejar dan cuba memintas motosikal terbabit sebelum suspek secara tiba-tiba bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota.
“Bagi mempertahankan diri, pasukan polis membalas tembakan sehingga suspek rebah dan pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati lelaki tersebut tidak bergerak.
“Hasil pemeriksaan lanjut polis menemui sepucuk pistol jenis Glock serta sejumlah dadah dipercayai heroin bersamanya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Hamzah, kes tersebut kini disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang antaranya Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, siasatan lanjut juga mendapati suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. -KOSMO! ONLINE