fbpx

Penggodam Korea Utara tukar kripto hampir RM7 bilion kepada tunai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kumpulan Lazarus didakwa merompak token digital pada ByBit dua minggu lalu. - Getty Images

WASHINGTON – Kumpulan penggodam yang dipercayai bekerja untuk rejim Korea Utara telah  menukar sekurang-kurangnya AS$300 juta (RM1.3 bilion) daripada hasil rompakan terbanyak mata wang kripto berjumlah AS$1.5 bilion (RM6.6 bilion) kepada dana yang tidak boleh dipulihkan.

Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, penjenayah dikenali sebagai Kumpulan Lazarus itu meleret jumlah besar token digital dalam penggodaman pada pertukaran mata wang kripto ByBit dua minggu lalu.

Sejak itu, usaha dilakukan untuk menjejak dan menyekat penggodam daripada berjaya menukar kripto kepada wang tunai yang boleh digunakan.

Pakar berkata, pasukan penggodaman terkenal tersebut bekerja hampir 24 jam sehari dan berpotensi menyalurkan wang itu ke dalam pembangunan ketenteraan Korea Utara.

“Setiap minit adalah penting bagi penggodam yang cuba mengelirukan jejak wang. Mereka sangat canggih dalam apa yang dilakukan,” kata pengasas bersama penyiasat kripto Elliptic, Dr. Tom Robinson.

“Daripada aktiviti mereka, kami dapat melihat bahawa mereka hanya mengambil masa beberapa jam untuk berehat setiap hari dan mungkin bekerja secara bergilir-gilir untuk menukar kripto menjadi wang tunai,” tambahnya.

Analisis Elliptic itu sepadan dengan kenyataan ByBit, yang mengatakan bahawa 20 peratus daripada dananya kini menjadi ‘gelap’. Ini bermaksud ia tidak mungkin dapat dipulihkan.

Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya menuduh Korea Utara melakukan berpuluh-puluh penggodaman dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk membiayai pembangunan ketenteraan dan nuklear rejim.

“Korea Utara mempunyai sistem yang sangat tertutup dan ekonomi tertutup justeru, mereka mencipta industri yang berjaya untuk penggodaman serta pengubahan wang haram.

“Mereka tidak mengambil berat tentang tanggapan negatif jenayah siber,” kata Dr. Dorit Dor dari syarikat keselamatan siber, Check Point.

Korea Utara tidak pernah mengaku berada di belakang Kumpulan Lazarus tetapi dianggap sebagai satu-satunya negara di dunia yang menggunakan kuasa penggodamannya untuk keuntungan kewangan. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI