SEREMBAN – Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Matahari Height di Jalan Persiaran Senawang 1, di sini, Khamis lalu meninggal dunia malam ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia pukul 7.23 malam ketika sedang dirawat di unit kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).
Menurutnya, mangsa adalah penunggang motosikal Honda Vario yang dinaiki bersama rakan lelakinya berusia 13 tahun dan punca kematian disebabkan poly trauma.
“Manakala, tiga rakan mangsa yang cedera masing-masing berusia 18 dan 17 tahun masih dirawat di hospital berkenaan katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mohamad Hatta sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati dua remaja maut dipercayai dirempuh kereta Honda Jazz yang gagal berhenti di lampu isyarat merah dan melanggar Dua buah motosikal yang datang dari arah kiri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, dua remaja berusia 15 dan 16 tahun yang menaiki motosikal Modenas Kriss meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa berusia 13 tahun, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, muka dan dada serta kini dirawat di HTJ.
Dua lagi remaja iaitu, pemandu kereta Honda Jazz berusia 18 tahun serta penumpang kenderaan tersebut, berusia 17 tahun yang mengalami kecederaan parah dan dirawat di hospital yang sama. – KOSMO! ONLINE