MUAR – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai hilang dan tidak pulang ke rumah di Mukim Sungai Balang, Parit Jawa, di sini sejak September tahun lalu dirayu pulang menyambut Syawal bersama keluarga.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima laporan kehilangan remaja berkenaan semalam oleh bapanya.
“Pihak polis sedang mengesan Muhammad Shahrul Zaidi yang tidak pulang ke rumah sejak kira-kira enam bulan yang lalu.
“Remaja lelaki itu yang berkulit hitam manis, berbadan kurus dan berambut hitam pendek mempunyai bentuk muka yang bujur. Keluarga tidak dapat mengingati pakaian terakhir remaja itu.
“Berketinggian kira-kira 170 sentimeter, berat 44 kilogram tinggal di kediaman beralamat di Sungai Sudah, Mukim Sungai Balang, Parit Jawa, Muar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Seventhi A/P Panner melalui talian telefon, 01116251909 , Direct Line, 06-9564800 dan Hotline, 06-9526001. – KOSMO! ONLINE