KUALA LUMPUR – Republik Fiji menyatakan minat terhadap model pembangunan Malaysia dan ingin mencontohi pendekatan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam memperkasakan sektor ekonomi serta pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Fiji, Sitiveni L. Rabuka, ketika perbualan telefon antara mereka.
“Saya menyambut baik hasrat ini dan bersedia berkongsi pengalaman serta kepakaran Malaysia dalam bidang-bidang tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam sektor pendidikan, Anwar berkata, Malaysia mengalu-alukan kehadiran pelajar dari Republik Fiji, khususnya dalam program Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik serta teknologi maklumat.
Beliau juga menjemput Fiji untuk menyertai Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), yang menawarkan latihan pembangunan kapasiti bagi memperkasakan sumber manusia melalui perkongsian kepakaran.
Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan rasa syukur atas pembukaan semula Suruhanjaya Tinggi Fiji di Kuala Lumpur pada awal tahun ini, yang disifatkannya sebagai bukti komitmen Fiji dalam memperkukuh hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Sebagai langkah seterusnya, Anwar berkata beliau mengundang Rabuka untuk segera melakukan lawatan rasmi ke Malaysia bagi mempererat hubungan dua hala dan meneroka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE