MACHANG – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengenal pasti sebanyak 70 buah premis di negeri ini menjual gula-gula kenyal ‘gummy ball’ sepanjang tempoh seminggu operasi dijalankan pada hujung Februari lalu.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pemeriksaan terbabit dilakukan susulan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Pulau Pinang akibat tercekik ‘gummy eye ball’ pada 19 Februari lalu.
Menurutnya, operasi yang bermula pada 22 Februari lalu itu mengesan sebanyak 13 premis di Tumpat, Bachok (11), Pasir Puteh (10) Kota Bharu (8) dan Gua Musang (6) menjual gula-gula terbabit.

“Selain itu, sebanyak empat buah premis di Kuala Krai, tiga premis di Tanah Merah selain masing-masing lima premis di Pasir Mas, Machang dan Jeli didapati menjual gula-gula gummy ball.
“Operasi itu dijalankan di premis-premis di kawasan sekolah, pasar raya dan kedai sebaneka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Walkabout di Bazar Ramadan Dataran Kenanga di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaini memberitahu, daripada pemeriksaan tersebut, satu kompaun telah dikeluarkan terhadap sebuah premis di Pasir Mas kerana melanggar peraturan pelabelan (di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983). – KOSMO! ONLINE