MACHANG – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 97 notis kompaun terhadap pengendali makanan di bazar Ramadan di negeri ini melibatkan nilai M10,900 setakat semalam.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kompaun yang dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 itu melibatkan pelbagai kesalahan termasuk berkaitan pemakaian pengendali makanan dan kebersihan diri.
Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 830 gerai dan 1,967 orang pengendali makanan di bazar Ramadan di seluruh Kelantan telah diperiksa.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 823 atau 99 peratus premis makanan berada pada tahap bersih dengan markah melebihi 80 peratus.
“Seramai 1,881 iaitu 95 peratus pengendali makanan didapati telah mendapat suntikan anti tifoid dan 1,751 iaitu 89 peratus menghadiri kursus Latihan Pengendali Makanan (LPM),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Walkabout di Bazar Ramadan Dataran Kenanga, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaini memberitahu, sebanyak 73 bazar Ramadan telah berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun ini dengan keseluruhan 4,336 petak perniagaan. – KOSMO! ONLINE