KUALA LUMPUR – “Sebelum buat keputusan bincang baik-baik dan ada toleransi sebab nak hidup bersama dan tidak mahu pengakhiran tak baik.”
Demikian respons aktor Ashraf Muslim mengenai hasrat pelakon Azlan Komeng yang ingin berpoligami dan memohon lelaki itu berbincang dengan teliti bersama isterinya iaitu Nur Nilam.
Menurut Ashraf, 43, yang hidup berpoligami, perkahwinan adalah perkara baik yang harus dimulakan dengan elok tanpa ada permasalahan tercetus sebelum mendirikan rumah tangga.
“Apa pun keputusan dibuat biarlah harmoni. Benda baik harus dimulakan dengan baik, jangan perkara baik mula dengan tak baik supaya tiada kekhilafan atau kesan kurang baik selepas itu.
“Faham satu sama lain dan dapatkan keredaan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi orang sekeliling juga.
“Saya doakan sesiapa nak buat keputusan (berpoligami) atau apa-apa sahaja perkara dalam hidup. Berkahwin perubahan sangat besar, tidak kisah kahwin berapa atau bercerai. Fikir kesan dan cari solusi terbaik,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar Gerobok Biru Gempak Gempita Raya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Dalam masa sama, pelakon drama Seribu Tahun itu menasihati kepada sesiapa yang ingin berpoligami agar tidak berkongsi secara terbuka lebih-lebih lagi dalam media sosial mengenai apa-apa keputusan yang bakal dibuat.
“Hal rumah tangga jangan uar-uarkan kepada masyarakat dan jangan aibkan antara satu sama lain.
“Dalam keluarga, kita perlukan kepercayaan, perkara tersebut susah nak dibina. Sekali rosak, susah nak dapatkan balik.
“Elakkan apa-apa kenyataan keluar dalam media sosial seperti hal dalam kain, isu periuk nasi atau cerita atas katil. Biarlah cerita antara suami dan isteri,” jelasnya.
Dia juga turut menegaskan kepada orang ramai agar tidak masuk campur dalam apa-apa urusan supaya tidak mengeruhkan keadaan atau mencetuskan sebarang fitnah.
“Pada netizen yang melihat, apa sahaja keputusan jangan terus menghakimi sebab kita tidak tahu. Mungkin ada benda baik, kadang-kadang perkara yang baik kalau kita keruhkan akan beri kesan tak baik di sisi agama.
“Berhati-hati bila kita berkongsi dalam media sosial sebab tak tahu spekulasi yang dibangkitkan. Sekarang banyak fitnah dilakukan jari-jemari atau keluar dari mulut,” ujarnya.
Sebelum ini, Nur Nilam menginzinkan Azlan untuk berkahwin lain kerana menghormati dan menyayangi suaminya.
Susulan pendedahan terbabit, ramai meluahkan simpati terhadap Nilam yang tetap di sisi Azlan ketika lelaki itu hampir lumpuh dan perlu diuruskan sepenuh masa akibat kemalangan pada 12 Oktober tahun lalu. – KOSMO! ONLINE