BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan calon luar atau ‘payung terjun’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon yang akan bertanding di kerusi tersebut dipilih daripada enam calon yang disenarai pendek terdiri dalam kalangan kepimpinan UMNO Bahagian Tapah.
Katanya, calon yang bakal dipilih itu nanti akan memahami citarasa pengundi-pengundi di Ayer Kuning sekali gus meneruskan kesinambungan perkhidmatan yang dilaksanakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini.
“Kita tidak yakin (calon) payung terjun dapat membantu Ayer Kuning. Insya-Allah, kita akan pilih daripada senarai yang dikemukakan kepada saya iaitu dalam kalangan kepimpinan UMNO Bahagian Tapah.
“Sebagai Pengerusi BN dan Presiden Parti, saya akan menghormati senarai yang dikemukakan oleh UMNO Bahagian dan juga Badan Perhubungan negeri.
“Saya harap calon ini akan memenuhi kriteria penduduk dan pengundi di Ayer Kuning dan Tapah amnya supaya kita dapat mengulangi kejayaan seperti mana pilihan raya sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Ihya Ramadan Al-Mubarak di Dewan Perdana, Kompleks UMNO Bagan Datuk di Hutan Melintang, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas koordinasi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN bagi menghadapi PRK Ayer Kuning, Ahmad Zahid berkata, perbincangan tidak formal telah diadakan dalam kalangan kepimpinan parti. – KOSMO! ONLINE