PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang akan dibentang di Parlimen tidak melibatkan pengusiran pemilik rumah atau tanah secara paksa.
Penegasan itu disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah pada sesi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan di Facebook hari ini.
Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa undang-undang tersebut tidak akan mengubah peratusan pemilikan bumiputera atau komposisi etnik di sesebuah kawasan.
“Akta itu juga tidak akan mengubah peratusan pemilikan bumiputera atau mengubah komposisi etnik di sesuatu kawasan.
“Tidak timbul isu Melayu bumiputera dipinggirkan daripada arus kemajuan bandar kerana matlamat utamanya adalah memastikan peningkatan kualiti hidup masyarakat bandar, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu itu sendiri,” katanya.
Pada taklimat sama, Tunku Nashrul turut menyampaikan pesanan Perdana Menteri supaya rakyat tidak terpengaruh dengan sebarang kenyataan fitnah yang tidak berasas.
“Contoh terbaru, terdapat hantaran di laman sosial yang mengulangi naratif fitnah usang dan jahat bertujuan menimbulkan kegusaran awam mengenai laungan azan.
“Naratif seperti ini akan muncul setiap kali musim pilihan raya. Budaya seperti ini perlu dinoktahkan segera bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) agar memperkemas penyelarasan seluruh jentera agensi persekutuan dan negeri.
Katanya, langkah tersebut bagi memudahkan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat banjir di Sabah dan Sarawak ketika ini.
Perdana Menteri turut meminta agensi itu untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada ketua rumah mangsa banjir yang terlibat. – KOSMO! ONLINE