JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan beberapa wanita menghalau sekumpulan ‘mat rempit’ yang membuat bising dengan cara mengejar mereka menggunakan batang buluh, lapor laman berita Detik hari ini.
Kejadian berlaku semalam di kawasan tarikan pelancong Rawa Jombor, Klaten, wilayah Jawa Tengah.
“Kumpulan ‘mat motor’ mengganggu ketenteraman dikejar oleh penduduk tempatan,” kata hantaran video tersebut.
Dalam video pertama, beberapa wanita separuh umur dilihat mengejar kumpulan penunggang motosikal tersebut sambil membawa batang buluh.
Turut mengejar kumpulan itu ialah sejumlah penduduk lelaki dan diikuti dengan kereta ronda polis.
Video kedua memaparkan penduduk berkumpul di tepi jalan sambil bersorak ke arah kumpulan penunggang motosikal yang diangkut oleh kereta polis.
Seorang penduduk dikenali sebagai Ali berkata, pada awalnya, kumpulan remaja itu menunggang motosikal beramai-ramai dengan mengeluarkan bunyi ekzos bising.
“Sejak pukul 5 pagi (waktu tempatan), sekumpulan remaja menunggang motosikal yang mengeluarkan bunyi ekzos bising. Ia mengganggu ketenteraman penduduk.
“Bilangan mereka semakin ramai, membuatkan penduduk berasa marah.
“Kami kemudian membuat keputusan untuk mengejar mereka beramai-ramai,” katanya.
Tambah Ali, penduduk akhirnya berjaya menangkap remaja-remaja terlibat sebelum mereka ditahan polis. – AGENSI