BANGKOK – Seorang pemandu teksi mengembalikan wang tunai berjumlah 154,000 baht (RM20,000) kepada seorang pelancong Jepun yang ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kenderaannya, lapor laman berita Thaiger.
Chum Khamwiangsa, 63, mengambil penumpang tersebut dari Wat Arun pada 2 Mac lalu sebelum menghantarnya ke Soi Pansook, Bangkok.
Ketika dia mahu mengambil penumpang lain, Chum menyedari terdapat beg berwarna hitam ditinggalkan di tempat duduk belakang keretanya.
Saluran berita Channel 7 melaporkan, beg itu mengandungi dua dompet, kad kredit milik wanita Jepun bernama Ayaka, cek dan wang tunai bernominasi dolar Amerika Syarikat, yen Jepun, won Korea Selatan dan dong Vietnam.
Jumlah keseluruhan adalah kira-kira 154,000 baht.
Chum kemudian membawa beg hitam berisi wang tunai itu kepada Stesen Radio Phithak Santirat FM91 dan meminta bantuan Polis Diraja Thailand untuk mengembalikannya kepada wanita tersebut.
Stesen radio itu dengan bantuan beberapa jabatan kerajaan akhirnya berjaya mengesan hotel tempat pelancong itu menginap.
Bagaimanapun, pihak hotel memberitahu bahawa wanita tersebut sudah pulang ke Jepun.
Dia kemudian meminta seorang wakil hotel mengambil semula barang-barang berharga bagi pihaknya serta melahirkan rasa terima kasih kepada Chum atas kejujuran yang ditunjukkan. – AGENSI