fbpx

Representasi Najib gugur pertuduhan kes dana SRC RM27 juta diketahui 6 Mei ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 6 Mei ini bagi keputusan representasi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menggugurkan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan pihaknya memohon tarikh pengurusan kes baharu untuk memaklumkan mengenai keputusan representasi itu.

“Representasi yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Ogos 2023 belum diputuskan lagi. Sehubungan itu, kami mohon tarikh pengurusan kes yang sesuai untuk memaklumkan mengenai keputusan representasi tersebut,” katanya pada pengurusan kes itu hari ini.

Mendengar perkara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan menyerahkan surat tambahan berhubung representasi itu kepada AGC esok.

Muhammad Shafee turut memohon tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini, iaitu pada 19 hingga 23 Mei dan 21 April hingga 25 April 2025, dilapangkan kerana beliau sedang mengendalikan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua kes jenayah lain.

Justeru, Hakim Muniandy kemudian membenarkan tarikh perbicaraan tersebut dilapangkan dan menetapkan pengurusan kes pada 6 Mei untuk pihak pendakwaan memaklumkan mengenai representasi tersebut.

Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI