PONTIAN – Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) akan merampas barangan peniaga bunga api sekiranya mereka menjalankan perniagaan di sembilan kawasan Bazar Ramadan di daerah ini.
Merujuk kepada isu peniaga bunga api di Bazar Ramadan di Ayer Baloi yang tular di media sosial, Unit Perhubungan Koporat MPPn menegaskan permohonan peniaga sebenarnya tersebut tidak disokong oleh MPPn.
Katanya, permit penjualan bunga api sempena Hari Raya Aidilfitri dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan meminta ulasan MPPn mengenai kesesuaian kawasan jualan tersebut.
Menurut beliau, setakat ini MPPn telah menerima sebanyak 56 permohonan daripada PDRM, namun hanya 27 permohonan sahaja disokong oleh MPPn.
“Manakala selebihnya tidak disokong termasuk peniaga bunga api di Bazar Ramadan Ayer Baloi yang tular di media sosial,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial malam tadi dimana seorang peniaga makanan meluahkan rasa tidak puas hati apabila mendapati ada pihak yang menjual bunga api di Bazar Ramadan Ayer Baloi.
Peniaga tersebut mendakwa tapak bazar tersebut sepatutnya dikhaskan untuk penjual makanan juadah berbuka puasa. – KOSMO! ONLINE