BURIRAM United tidak gentar menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal menerima sokongan padu 35,000 penyokong dalam perlawanan kedua peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) malam esok.
Pemain tengah Buriram, Kenneth Dougall berkata, tiada masalah buat mereka untuk bertandang sebagai pelawat di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) meskipun ia adalah kubu kuat Harimau Selatan.
“Saya teruja untuk perlawanan esok, kedua-dua pasukan sudah bertemu dua kali sebelum ini, jadi kami dapat jangka kemampuan masing-masing. Buriram pasti akan lakukan yang terbaik.
“Bermain di hadapan penyokong lawan adalah perkara biasa. Itu tidak menjadi masalah kerana tiada beza sama ada bermain di hadapan 1,000 atau 30,000 penyokong lawan,” katanya dalam sidang akhbar di SSI hari ini.
Sementara itu, ketua jurulatih Buriram, Osmar Loss pula memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan persediaan yang telah dibuat bagi mengharungi perlawanan timbal balik kali ini.
“Ini perlawanan yang penting, kritikal buat kedua-dua pasukan. Kami telah tumpukan kepada usaha memperbaiki persembahan bagi mendapatkan jaringan sekali gus dapat memenangi perlawanan esok.
“Saya jangka perlawanan akan sengit kerana kedua-dua pasukan mahu mara ke peringkat seterusnya dan membawa kebanggaan buat negara masing-masing,” jelasnya.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama JDT menentang Buriram di Stadium Chang Arena, Thailand pada 4 Mac lalu.