LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho menegaskan, arena bola sepak moden semakin kejam berikutan pemecatan pengendali Chelsea, Frank Lampard malam kelmarin.
Lampard ditunjukkan jalan keluar dari Stamford Bridge selepas 18 bulan membimbing pasukan itu selain hanya melakar satu kemenangan dalam lima aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).
Mourinho yang mengemudi The Blues menjulang trofi EPL sebanyak tiga kali menyuarakan kesedihannya atas pemecatan itu, selain mengakui ia realiti yang harus dihadapi setiap pengurus.
“Sudah tentu saya sedih apabila kawan-kawan kehilangan kerja. Frank (Lampard) bukan sekadar kawan tetapi dia adalah antara individu paling penting dalam karier saya.
“Inilah realiti sebenar dunia bola sepak moden. Apabila anda menjadi seorang pengurus, anda juga akan berdepan situasi seperti ini, hanya masa yang menentukan,” katanya yang turut dipecat dua kali oleh The Blues.
Pada masa sama, pengendali dari Portugal berkenaan enggan menghubungi bekas pemainnya itu kerana mahu memberikan ruang buat Lampard untuk bertenang.
“Saya tidak fikir Frank mahu bercakap dengan saya atau sesiapa sahaja selain ahli keluarga serta sahabatnya, jadi tidak mungkin saya akan hubunginya dalam masa terdekat,” ujar Mourinho. – AGENSI