PUTRAJAYA – Pemandu Toyota Innova yang tular melanggar sehingga menyebabkan kematian kepada pemandu Perodua Axia, Syed Muhammad Danial Syed Syakir dalam kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan enam tahun lalu kekal dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Che Ruzima Ghazali selepas menolak rayuan Yew Wei Liang, 47, untuk mengurangkan hukuman penjara 16 tahun selain mendapati keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman itu adalah betul.
“Mahkamah memandang berat kejadian yang berlaku supaya ia dapat memberi mesej kepada masyarakat. Kita tidak boleh mengambil undang-undang di tangan sendiri dan bertindak sesuka hati. Kami mendapati hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tidak berlebihan. Oleh itu hukuman dikekalkan dan rayuan perayu ditolak,” kata Hakim Che Ruzima.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Dalam prosiding sama, panel turut menolak rayuan silang pihak pendakwaan untuk mengembalikan kes itu daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan turut menolak rayuan pihak pembelaan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.
Semasa prosiding dalam rayuan silang, Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh atas kesalahan menyebabkan kematian.

“Walaupun tempoh itu singkat, ianya tidak menghalang mahkamah membuat inferens terdapat satu niat untuk mencederakan dan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 300 Kanun Keseksaan. Tertuduh menyatakan dia rasa nyawa terancam dan ingin melindungi diri sendiri dan isterinya yang ketika itu mengandung yang berada dalam kenderaan itu.
“Namun, berdasarkan rakaman video saksi pendakwaan ke-19 iaitu isteri tertuduh di tempat kejadian, menunjukkan tertuduh bukan dalam keadaan untuk melindungi diri dan harta (kereta), tetapi dia dalam keadaan marah dan ‘to teach the deceased a lesson’,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili perayu mengatakan, kejadian berlaku terlalu pantas dan anak guamnya tidak berniat melakukan perbuatan itu.
“Kejadian ‘move car’ adalah untuk mempertahankan diri dari dipukul si mati menggunakan kayu besbol,” kata peguam tersebut.
Pada 7 Disember 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman penjara 16 tahun selepas mendapati Yew Liang yang juga bekas pekerja teknologi maklumat (IT) itu bersalah melanggar sehingga menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial.
Mengikut pertuduhan asal, Wei Liang didakwa membunuh Syed Muhammad Danial, 29, yang juga pengurus bank, di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, ketika membaca keputusan kes, Hakim Julia Ibrahim mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Hakim itu, berkata, dalam menentukan hukuman yang wajar dikenakan ke atas tertuduh, mahkamah mengambil kira faktor-faktor mitigasi, antaranya latar belakang, kesalahan pertama dan kerjasama tertuduh semasa siasatan. – KOSMO! ONLINE