TAPAH – Seorang pemandu lori bonded maut apabila kenderaan dipandunya gagal dikawal sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori satu tan dalam kemalangan di Kilometer (KM) 328.0 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini pada pukul 12.19 tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa iaitu seorang lelaki berumur sekitar 30-an tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
“Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Mangsa dikenali Khairil Khaidir Rahman yang berasal dari Tawau, Sabah.
Difahamkan pemandu lori satu tan tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada laporan kesesakan jalan raya. – KOSMO! ONLINE