KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia mempertimbangkan semula semua elaun jururawat bagi membantu meringankan bebanan kerja yang dihadapi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM tidak mempunyai sebarang halangan untuk menilai cadangan tersebut dengan sewajarnya.
“Berkaitan soalan mengenai elaun, saya berpendapat tiada halangan untuk mempertimbangkannya.
“Perkara ini pasti akan dikaji dengan teliti dan adil dan saya yakin ia akan diberikan pertimbangan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melancarkan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Hospital Tunku Azizah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) yang meminta kerajaan menilai semula semua elaun termasuk elaun wilayah RM1,000 sebulan bagi yang berkhidmat di luar negeri asal.
Presidennya, Saaidah Athman berkata, perkara itu mengambil kira tekanan berlebihan yang dihadapi jururawat di luar negeri akibat berjauhan dengan keluarga, selain bebanan kerja dan kenaikan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya akan meneliti dakwaan yang mengatakan bahawa pesakit yang menggunakan insurans dikenakan caj lebih tinggi berbanding mereka yang membayar sendiri untuk prosedur perubatan.
“Perkara itu perlu diserahkan kepada pegawai KKM serta pengkaji untuk mengenal pasti dakwaan itu sama ada betul terdapat perbezaan harga terhadap pesakit yang menggunakan insurans.
“Saya mahu diberikan sedikit masa untuk mengesahkam dakwaan itu. Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengatakan tidak ada, tetapi untuk saya mengatakan ya atau tidak, saya tidak dapat memberikan jawapan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE