LONDON – Legenda Chelsea, Frank Lampard menyuarakan kesedihan serta kekecewaan selepas beliau dipecat sebagai pengurus pasukan tersebut malam kelmarin.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman The Blues itu mengakui terkilan kerana tidak diberikan lebih masa bagi memperbaiki kedudukan pasukan itu pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Beliau bagaimanapun turut berterima kasih kepada semua penyokong Chelsea atas sokongan yang diberikan selama ini meskipun berdepan situasi terumbang-ambing.
“Saya rasa sangat bangga kerana diberikan peluang untuk membimbing Chelsea, pasukan yang sentiasa menjadi sebahagian daripada hidup saya. Terima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa berada di belakang saya.
“Agak kecewa kerana saya tidak ada cukup masa untuk bawa pasukan ini kembali dalam kelompok teratas. Saya juga berbangga kerana memberikan peluang kepada pemain-pemain akademi,” ujar Lampard menerusi laman Instagramnya.
Pada masa sama, bekas pemain antarabangsa England itu mengakui, beliau sedia berdepan sebarang kemungkinan memandangkan tanggungjawab sebagai pengendali Chelsea cukup besar.
“Ketika saya ambil alih jawatan pengurus, saya sudah tahu cabaran besar bakal dihadapi. Apa yang penting sekarang, saya harap Chelsea akan terus berjaya pada masa depan,” katanya.
Sebagai rekod, Chelsea mengharungi musim mengecewakan apabila berada di kedudukan kesembilan dengan 29 mata hasil lapan kemenangan, lima kalah dan enam seri. – AGENSI