PETALING JAYA – Pempengaruh dan usahawan Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai Ridzuan Ridzokumura tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah terhadap keluarganya susulan kematian arwah isteri, Akiko Okumura.
Menerusi perkongsian di Instagram @Ridzokumura, Ridzuan telah berkongsi tangkap layar komen netizen yang mengandungi dakwaan tidak berasas terhadap dirinya.
“Ini baru sedikit, ada banyak lagi. Tunggu surat peguam saya sampai. Saya sudah penat memaafkan manusia berhati hitam ini.
“Sabar saya pun ada had. Maaf, tetapi tolong hentikan semua fitnah. Sedikit pun saya tidak memaafkan apa yang datang dari jari anda.
Dia turut memuat naik gambar bersama peguam terkenal, Fakhrul Azman Abu Hassan sebagai langkah dalam menangani isu tersebut.
“Fakhrul adalah peguam saya. Sesiapa yang membuat fitnah ke atas saya, Sky dan arwah isteri, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
Hantaran tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ramai yang menyokong tindakan beliau dan berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik – KOSMO! ONLINE