ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri memutuskan untuk menanggung kos perubatan dua pelajar Universiti Mu’tah, Jordan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di negara Asia Barat itu, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, dua pelajar tahun pertama dalam bidang Fiqh Wa Usul di universiti itu merupakan anak jati Johor.
Menurutnya, pelajar tersebut ialah Muhammad Zaqwan Azhar Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurlkarnian @ Zulkarnian.
Katanya, maklumat yang diperolehi mendapati kedua-dua mereka hanya mengalami kecederaan ringan namun masih dalam keadaan trauma.
“Kos perubatan mereka sebanyak RM4,424.59 akan ditanggung Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). Kita dimaklumkan juga kedua-dua pelajar ini merupakan pelajar persendirian.
“Ketika ini, mereka masih berada di Hospital Al-Karak Jordan. Muhammad Zaqwan dijangka akan keluar dari hospital hari ini manakala Muhammad Ilham masih menggunakan pembalut leher dan masih dalam pemantauan hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Penyelarasan Pembasmian Kemiskinan Tegar dan Taklimat Program Dapur Kasih Johor 2025 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pejabat Education Malaysia Jordan (EMJ) memantau rapat keadaan empat pelajar Malaysia yang cedera dalam kemalangan jalan raya di negara itu, Jumaat lalu.
Mohd. Fared berkata, kemalangan membabitkan dua pelajar terbabit bersama dua pelajar dari Selangor. – KOSMO! ONLINE